27 June 2011

Kalau Jatuh Tangga pun, Janganlah Sampai Ditimpa Tangga Itu


Angin berpusu-pusu menerjah masuk ke dalam kamar bilikku melalui celahan tingkap yang tidak tertutup rapat. Aku bergegas merapatkan kembali mulut tingkap bagi mengelakkan suhu bilik turun lebih mendadak memandangkan catatan suhu di plug in yahoomessenger mencapai 8 darjah Celcius. Ahli bilikku, Ali nyenyak diulit mimpi dengan dibaluti lihaf LE 190 kepunyaannya. Aku mencapai sweater yang tergantung di balik pintu dan mengenakannya di badanku. Jam di ruang tamu bernyanyi menandakan sudah pukul 2 pagi. Bilik Nizam masih terang. Mungkin dia terlelap tanpa mematikan lampu atau sedang membelek muqarrar.

Aku membetulkan kembali posisiku di bangku yang terletak di penjuru bilik sambil menghadap meja study yang banyak berjasa ketika musim imtihan. Musim syita ' menjelma lagi. Bermakna sudah lebih setahun aku bersama sahabat-sahabat yang lain bersepak-terajang di Bumi Kinanah ini. Banyak peristiwa-peristiwa yang telah mendidik diri ini. Fikiranku menerawang merentas masa. Mengenangkan kembali sepanjang setahun hidupku di perlembahan Nil ini. Buku Head and Neck terbiar di atas meja tanpa disentuh. Lagu Ku Hadir Padamu dendangan Mirwana melepasi telingaku tanpa dihiraukan.
Teringat ketika awal-awal menjejakkan kaki ke dorm ARMA yang menjadi sasaran rakan-rakanku termasuk aku sendiri. Suasana ketika itu amat meriah. Masing-masing sibuk melayan pawagam-pawagam di komputer riba masing-masing. Ada yang melayan drama Korea. Ada yang terpukau dengan movie-movie Inggeris tidak kurang juga movie yang diterbangkan khas dari Malaysia. Semuanya disedut daripada suppliers yang bermaharajalela di bangunan itu. Permainan-permainan virtual turut menjadi sasaran para gamers. Aku tidak terkecuali daripada suasana tersebut. Suasana yang tidak mungkin wujud pada zaman Rasulullah s.a.w juga zaman para sahabat.
Setelah masing-masing berpindah, habit tersebut masih menjadi kegilaan siswa dan mungkin juga siswi. Aku cuba koreksi kembali diri ini. Setahun sudah berlalu. Berapa banyak perubahan yang telah berlaku dalam diriku. Kalau dulu tiap-tiap hari aku melayan movie, sekarang bagaimana pula? Kalau dulu  games menjadi pilihanku, sekarang bagaimana pula? Perasaan rugi menerjah ke kotak fikiranku. Aku beristighfar... 'Adakah aku masih mempunyai masa untuk bersuka-suka, sedangkan amalan wajib yang aku lakukan belum mampu menjanjikanku syurga Allah yang mahal itu?' aku bermonolog sendirian... 'Adakah cukup dengan belajar dapat memberi aku tiket untuk mencium bau syurga?'...Semua itu membuatkan aku insaf...
DELETE...Semua movie-movie yang tersimpan dalam memori komputer ribaku dibuang. Aku ingin mencari titik perubahan. Aku tidak mahu menjadi seperti setahun yang lepas. Cukuplah ianya menjadi pengajaran bagiku. Aku tidak mahu setahun masaku terbuang lagi...Bunyi pintu tandas dikuak mengisi keheningan malam itu ditambah dengan bunyi pili air dibuka. 'Mungkin Nizam nak qiam kot ,' kataku sendirian. Lampu meja kumatikan. Aku mencapai sleeping bag yang dibawa dari Malaysia. Selesai doa aku melelapkan mata....moga hari esok membawa 1001 perubahan bagi diriku... Amiin...

* Ini adalah rekaan cerita semata-mata. Tiada kaitan antara hidup ataupun yang sudah mati
* Artikel ini pernah dihantar dan disiarkan di Laman Rasmi PERUBATAN.

No comments:

Post a Comment