05 May 2011

Sudah Beli Tiket?


Perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah. Satu perlawanan yang berprestij dan bertaraf antarabangsa. Katakan anda berminat untuk menonton secara lansung atau secara Live perlawanan tersebut. Nak tak nak, perkara pertama yang anda akan fikir ialah, tiket perlawanan. Berapa harga? Bila akan dijual? Berapa banyak tempat yang disediakan? Anda tahu semua manusia akan berebut untuk mendapatkannya. Jika anda berlengah dan tidak bersungguh, cita-cita anda itu akan menjadi anganan kosong semata.

Satu analogi mudah. Tanpa tiket, anda duduklah di depan pintu masuk stadium di mana perlawanan itu berlansung, mengintai-intai dari luar. Itupun jika nampak. Hatta jika ada tiket pun, boleh jadi tiba-tiba pengawal keselamatan tidak membenarkan anda masuk atas sebab-sebab tertentu.

Saya ingin bawa anda ke satu realiti yang lebih besar daripada itu. Semua ingin memasuki syurga. Kenikmatannya tidak boleh disamakan dengan keseronokan menonton perlawanan akhir bola sepak berprestij tadi, kerna syurga menawarkan nikmat berjuta kali ganda lebih. Tiket. Apa dia tiket untuk menjejakkan kaki ke dalam destinasi tersebut?



Mari kita soroti kisah perjuangan para sahabat r.a. Saidina Abu Bakar keluar di tengah malam gelap, dalam keadaan Makkah ketika itu tidak selamat pada malamnya. Semata-mata ingin berjumpa dengan Bilal, menyampaikan Islam. Dan apabila Bilal bertanya, “Kenapa tidak menunggu hari esok sahaja?” Maka dibalas oleh As-Siddiq, “ Adakah kamu pasti ada hari esok bagimu?”

Saidina Ali r.a menggantikan tempat tidur Baginda s.a.w sedangkan dia tahu ancaman bunuh menantinya. Tetapi demi memastikan kelansungan dakwah terus berjalan, ancaman tersebut tiada apa baginya. Seorang sahabat pergi berjuang di medan perang, bila ditawarkan harta rampasan perang, dia hanya membalas, “Aku berjuang bukan kerana ini, tapi apa yang aku inginkan adalah aku dipanah di tengkuk, dan aku mati syahid,” dan Allah membenarkan permintaan itu.


Imam mujaddid, As-Syahid Hasan Al-Banna, ditembak kerana mepertahankan apa yang ingin disampaikan kepada semua manusia. As-syahid Syed Qutb, tali gantung menjadi penjemput ajalnya, mempertahankan apa yang dia bawa.


Dakwah. Tiket. Ya. Itulah tiket kita. Adakah anda rasa, cukup dengan anda belajar, pulang ke Malaysia bekerja, dapat rumah dan kereta sebiji, melancong sekali-sekala, melaram serba sedikit perhiasan dunia, menjanjikan anda tiket untuk masuk ke syurga? Tidak. Tidak sama sekali. Jika begitulah pemahaman kita, maka para sahabat sudah lama duduk di rumah bermain-main dengan keluarga. Tetapi akhirnya, pemahaman sohih para sahabat menolak mereka untuk tidak berdiam diri, bahkan kita dapat lihat perjuangan sirah Baginda s.a.w dan para sahabat r.a disulami dengan siri-siri peperangan yang tidak henti.

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (٣٣)

33. Dan tidak ada Yang lebih baik perkataannya daripada orang Yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

Itu baru satu daripada ayat al-Quran. Jika ingin dinukilkan di sini ayat berkaitan amar makruf nahi munkar di sini, maka terlalu banyak untuk disenaraikan. Tetapi, sejauh mana kita mengimani setiap ayat al-Quran tersebut. Apatah lagi jika kita seorang huffaz, mahukah kita membiarkan kalam-kalam tersebut meniti di bibir tanpa menyentuh hati dan menolak anggota untuk beramal? Jika itu yang berlaku, ketahuilah, hafalan itu hanyalah hafalan kosong!

“Tak apa. Fadhu kifayah je pun,”

Berjaga-jagalah. Jika perkataan itu timbul dalam hati kita, nantilah kebinasaan dari Allah.

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ (٢٤)

24. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).

Abu ‘Ammar, di dalam kitab Muntalaq, menerangkan di mana, selagimana kerosakan masih lagi berleluasa di muka bumi ini, selagi itulah beban dakwah terikat di tengkuk setiap daripada kita. Hatta jika Islam sudah berada paling atas pun, perlu ada segolongan yang mengerjakan dakwah. Dan fasad yang paling besar ketika ini ialah, manusia tidak berhukum dengan ketetapan Allah.

“Minta maaf. Saya bukan ulama’ untuk melakukan kerja ini”

Sekali lagi, Abu ‘Ammar menerangkan, anda dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan apa yang anda tahu sahaja. Kewajipan selaku seorang muslim. Adakah kita jahil dalam perkara ini? Mereka yang melengah-lengahkan solat, bermudah-mudah dalam hubungan berlainan jantina, membazir dalam berbelanja, mengisi waktu kosong dengan perkara melalaikan, mesti kita tahu perkara ini tidak selari dengan sifat seorang muslim. Jadi, apa tindakan kita? Berpeluk tubuh? Aku dengan hidup aku? Mereka tidak memudaratkan aku?

Berjaga-jagalah sekali lagi.

أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ (٢١٤)

214. Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

Kita ingin masuk syurga dengan pakaian mahal yang kita beli? Dengan tiket-tiket melancong yang kita bermatian mendapatkannya? Dengan movie-movie yang kita berlumba untuk habiskannya? Tepuk dada tanya iman.

Dr al-Bahi al-Khuli di dalam bukunya, Tazkiratud Dua’h menulis, sifat Ruhaniyah Ijtima’iyah seorang dai’e itu perlu dilengkapkan dengan sifat Tobia’h Tanfiziah, iaitu sifat melaksanakan apa yang terkandung di dalam dirinya. Menyampaikan Islam setara mana yang diketahuinya. Jika tidak, imannya dikira kurang atau naqis.

Akhirnya, iman yang tinggi akan menolak seorang itu untuk bergerak. Ayuh, kita perbaharui iman kita, rasailah kewajipan dakwah ini umpama kewajipan solat. Selagimana kita tidak solat, kita terasa beban tersebut masih ada. Selagimana kita tidak berdakwah, selagi itulah kita rasa beban itu sentiasa mengejar kita.

Ayuh, kita bina generasi harapan!


*Kalau ada habuk tu, tolong-tolong la tiupkan ya! :D

No comments:

Post a Comment