Showing posts with label Zikraa. Show all posts
Showing posts with label Zikraa. Show all posts

25 August 2011

Sebab kembali kepada maksiat

Antara sebab seseorang kembali kepada maksiat yang lama adalah kerana tiada Muraqabah kepada Allah. Dia kekal duduk di dalam suasana yang menggalakkan dia mengulang semula kesalahannya.

Satu kisah yang masyhur, di mana seorang yang membunuh 100 orang, yang akhirnya dinasihati untuk pergi ke satu kawasan yang padanya terdapat suasana yang menggalakkannya bertaubat.

Satu contoh dalam masalah couple. Seseorang ingin meniggalkannya, tapi dia masih menyimpan nombor telefon atau apa sahaja cara untuk berhubung dengan wanita/lelaki tersebut. Jadi akhirnya dia susah untuk tinggalkannya.

فارق دواعم المعصية

Cara yang terbaik untuk kekal dalam taubat nasuha.

Tazkirah, Masjid Rawas
24 Ramadan 1432H
2136
Published with Blogger-droid v1.7.4

13 August 2011

Aku tak cukup amal nak nasihat?

Saya rasa semua daripada kita pernah duduk di atas kerusi. Ya. Kerusi.
Saya ingin bawa satu analogi berkaitan kerusi dan dakwah. Mungkin analogi ini pelik dan boleh jadi tiada kaitan pun. Mungkin juga nanti akan ada yang tidak dapat memahami pun analogi ini. Tapi tidak mengapa. Saya tetap mahu menggunakan kerusi sebagai analogi tersebut.

Anda mesti tahu kerusi yang jenis mahal sedikit, yang mana boleh dilaraskan ketinggiannya, berpusing-pusing dan mungkin juga full leather.

20 June 2011

Ramadhan Mengintai di Balik Rejab dan Syaaban


Kisah 1


Seorang murid bertanya kepada penceramah, "Ustaz, kenapa ya walaupun syaitan diikat ketika Ramadhan, tetapi masih lagi ada orang yang melakukan maksiat?"

"Cuba kita perhatikan kipas tu. Agak-agak kalau kita tutup suis kipas, adakah ia akan berhenti terus?" ustaz tersebut cuba bertanya.

"Taaakk..." balas murid yang hadir ketika itu serentak.

Ustaz kemudian menyambung, "Begitulah nafsu kita. Jika selama 11 bulan tidak dijinakkan, maka apabila tiba masa untuk kita jinakkan ia, maka ia takkan semudah ABC. Kita akan mengambil masa yang lama. Jadi, nafsu itu perlu dikawal setiap detik. Bukan hanya apabila tiba bulan Ramadhan."

Kisah 2

12 June 2009

Cukuplah Mati Sebagai Peringatan

Sungguh, pemergian itu memang perit. Namun, apakan daya kudrat seorang hamba yang hanya menumpang di bumi sementara ini. Segalanya cukup pantas. Walau terkadang tak mampu diterima dek akal, namun, iman ini yang memagari diri agar tetap dengan kepercayaan Qadha' dan Qadar Allah. Larilah kamu ke penjuru manapun, jika ketetapan Allah itu sudah termaktub, tiada siapa yang mampu menghalangnya.

Ayuh koreksi diri kita wahai sahabat. Bilamana berita itu sampai ke cuping telinga kita, adakah Allah menjadi peneman kita sebelum itu, atau adakah kita masih lena dibuai dek keindahan palsu dunia ini? Tanya diri kita wahai ikhwanku. Kalaulah ketika itu kita yang pergi, maka, bersediakah kita? Mampukah kita menghadapinya?

Sungguh, aku dapat merasakan sahabatku ini tergolong bersama syuhada' dan solihin. Dia sudah menyempurnakan janjinya kepada Allah. Tinggal kita ini yang masih berdegup jantungnya, masih banyak untuk direnungi dan diperbaiki. Ketahuilah, bahawa masih belum terlambat untuk bertaubat. Selagimana ruh masih bersama jasad, teguhlah kamu di atas jalan ini.

17. Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang Yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[An-Nisa':4]

18. Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang Yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya Aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang Yang mati sedang mereka tetap kafir. orang-orang Yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.
[An-Nisa':5]

Para sahabat R.A juga tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Tapi, bezanya mereka adalah mereka bersegera dalam taubat mereka. Sehinggakan sanggup menghambat dirinya di sebatang pokok, dan tidak mahu dilepaskan melainkan jika Baginda yang melepaskannya. Dan sahabat yang lain sanggup dipulau demi mendapat keampunan dari Allah, sedangkan beliau mampu mencipta seribu satu alasan untuk terlepas dari hukuman. Inilah generasi awal yang mendapat didikan Allah dan RasulNya, yang mampu mengekalkan empayar Islam begitu lamanya, dan mendapat keredhaan Allah sepertimana yang termaktub di dalam Al-Kitab.

104. Tidakkah mereka mengetahui Bahawa Allah Dia lah Yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan Bahawa Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani?
[At-Taubah:104]

8. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
[At-Tahrim:8]

Tanya diri kita, sejauh mana telah kusumbangkan untuk Islam, untuk menjadi aset bagi diriku bertemu yang Maha Esa? Sejauh mana telah kuhabisakan masa dan tenaga berjual beli dengan Allah, demi mendapat syurganya yang kalau diikutkan tidak sama dengan pengorbanandan amalam kita. Ayuh sahabat, perjalan ini perlu diteruskan. Kitalah yang merancang pengakhiran hidup kita. Kalau mereka mampu mencipta sejarah, masakan kita tidak?


02 March 2009

Zikraa | Aku Dilamun Cinta


Tak cukup ke ana selawat ke atas Rasulullah. Itu pon dah kire baik ape. Daripada tak buat apa-apa,” rungut seorang sahabat. Ya. Memang benar. Selawat ke atas Rasulullah menandakan kita ini mencintai baginda. Apatah lagi terikut dengan budaya Mesir yang amat menitikberatkan selawat ke atas Nabi. Tapi, sekadar itukah sahaja bukti cinta kita kepada Rasulullah? Saya bawa satu analogi di sini. Seorang lelaki jatuh cinta kepada seorang perempuan. Dia menagih cinta perempuan tersebut. Dia mengharapkan agar perempuan tersebut berada di sisinya selalu dan mengimpikan satu kehidupan yang bahagia suatu hari nanti. Tetapi dia tidak sanggup untuk berbelanja lebih kerana takut kehabisan wang. Masa juga tidak mampu dikorbankan. Nah. Jika begini yang terjadi, maka anda dapat agak apakah hasil taupun natijahnya.

Di dalam era di mana kerosakan akhlak semakin meruncing ini, amat penting bagi kita selaku mukmin untuk kembali menyemarakkan cinta kita kepada Rasulullah. Musuh Islam saban hari cuba melenyapkan perasaan cinta kita kepada Nabi Muhammad dengan pelbagai tarikan dan hiburan. Tidak perlu pergi jauh, tanya diri kita sendiri. Adakah kita mengingati Maulud Nabi sebulan yang lepas? Nah. Jelas sekarang bagaimana licik kaum kuffar bagi melalaikan kita.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٣١)
31. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk kita kembali merenung, sejauh manakah kita benar-benar berusaha untuk merealisasikan atau mentahqiqkan perasaan cinta kita kepada Nabi Allah s.a.w. di dalam bentuk amal yang diterima oleh Allah. Adakah kita dikatakan mencintai Rasulullah jika puasa Isnin dan Khamis masih lagi kita ambil ringan? Dengan alasan, “Maalesh ar, ana tak sempat nak sahur tadi”, “Hari lain je la, ana macam tak larat lar”. Dan ketahuilah bahawa, sesiapa yang bercucuk tanam, maka dialah yang akan menuainya. Sesiapa yang berusaha dengan juhud, maka dia yang akan berjaya. Adakah boleh dikatakan kita ini menyayangi Rasulullah sekiranya solat berjemaah di masjid terutamanya Subuh, masih lagi tidak kita lazimi. Kalau pergi pun, jemaah kedua yang dikejarnya bahkan ia pergi dengan berat hati kerana melihatkan sahabat-sahabat lain turun berjemaah di masjid. Adakah kita dikatakan merindui Rasulullah sedangkan ayat-ayat al-quran tidak meniti di bibir-bibir kita. Sehari tidak pernah lebih dari setengah juz pun ayat al-Quran yang kita baca.

Kalau beginilah sikap kita, janganlah terimpi-impi untuk duduk bersama Rasulullah dan para sahabat di dalam satu liqo’ imani, pabila berada di dalam syurga nanti. Lupakanlah. Jauh. Memang jauh impian tersebut. Bukan duduk bersama Rasulullah, bahkan janji syurga itupun masih samar-samar. Kita lihat, bagaimana para sahabat mempertahankan Rasulullah dengan nyawa mereka sendiri. Peristiwa Uhud menjadi saksi pengorbanan mereka, di mana beberapa orang sahabat menahan panah-panah menggunakan badan mereka sendiri. Sahabat hilang giginya demi mencabut besi yang tertusuk di muka Rasulullah. Di dalam perang al-Ahzab pula, Huzaifah memberi taat tanpa berbelah bahagi kepada Rasulullah apabila disuruh mengintip percaturan kafir quraisy.

Nah. Adakah pengorbanan kita untuk mempertahankan Rasulullah sudah sehebat para sahabat? Saya ingin mengajak sekali sahabat-sahabat untuk kita berkhayal sebentar. Bayangkan suatu hari Rasulullah datang melawat kita. Ketika itu, tangan kita asyik berlari di atas joypad menghabiskan permainan PES 2009 ataupun bertarung DOTA dengan sahabat yang lain. Mungkin juga ketika itu, kita sedang khusyuk menonton movie. Boleh jadi juga kita asyik berbual kosong bercerita tentang perempuan, perlawanan bola dan sebagainya. Tanyalah diri kita, benarkah kita benar-benar mencintai Rasulullah. Ini belum lagi ditanya, sejauh manakah usaha kita demi menyambung kerja Rasulullah selaku khalifah di muka bumi Allah. Dan sedarlah, bahawa Rasulullah telah wafat dan tidak akan menziarahi rumah kita, tetapi sesunggahnya, Allah tidak terlepas pandang dari memerhatikan kita walau sedetik.

Akhir kalam, alangkah ruginya jika kita mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkannya. Sedangkan amal itulah yang Allah akan lihat. Jadi, ayuh kita realisasikan beberapa wajibat amali untuk diamalkan bersama, tanda kita benar-benar mencintai Rasulullah:-

1. Solat berjemaah di masjid terutama Subuh
2. Tilawah al-Quran sekurang-kurangnya setengah juz sehari

3. Selawat ke atas nabi 100x sehari (untuk mudah, lakukan setiap kali habis solat)

4. Bersedekah

5. Mengingatkan sahabat-sahabat yang lain tentang Maulud Nabi

6. Qiamullail seminggu sekali

7. Berpuasa Isnin dan Khamis atau salah satu
8. Menghidupkan suasana rumah dengan menampal poster-poster berkaitan Maulud Nabi

Wallahua’lam…

25 February 2009

Zikraa | Hartaku MilikMU


“Budak medik kaan…”. Ya. Mungkin frasa tersebut pernah hinggap di corong telinga anda. Penafsiran perkataan tersebut mungkin berbeza bagi setiap individu kerana setiap dari kita mempunyai gerak pemikiran tersendiri. Alangkah lesu jika dunia ini dipenuhi dengan orang-orang yang serupa dari A hingga ke Z. Berbalik kepada frasa tadi, saya memahaminya sebagai ‘pelajar medik yang mempunyai sejumlah wang’ yang boleh dikatakan banyak jika dinisbahkan kepada kehidupan di Ardu Anbiya’ ini. Mungkin ada pentakwilan berbeza. Terpulang. Makanya, bila banyak duit, banyaklah kelebihannya. Bila banyak kelebihannya, banyaklah juga dugaannya. Terutama sekali, bila ditanya di akhirat nanti, ke mana harta-harta yang kita ada ini dibelanjakan. Pada jalan Allahkah? Atau pada jalan ‘kita’ sendiri?

“Duit aku, suka hatilah aku nak buat ape”. Mungkin segelintir daripada kita pernah berfikir sebegitu. Kadang-kadang, jumlah wang yang banyak boleh membuat kita terlupa sebentar asal-usul kita. Manakan tidak, sebulan mampu memiliki hampir LE2000 lebih. Tidakkah ianya satu nilai yang besar? Nah. Sekarang ianya terserah kepada kita untuk menguruskannya. Duit sudah di tangan. Tinggal kita yang menentukan arah tujuan.

Susah. Memang susah sebenarnya untuk menanam di dalam diri kita, untuk merasakan bahawa harta kita yang sebenar adalah harta yang diinfaqkan di atas jalan Allah dan harta yang kita gunakan untuk diri kita semata-mata adalah umpama debu-debu berterbangan. Hilang begitu sahaja ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Lihatlah sejarah Islam. Tidaklah agama Allah ini tertegak tanpa adanya sumbangan harta daripada para sahabat. Al-faruq, Saidina Umar menginfaqkan separuh hartanya di jalan Allah untuk tujuan perang. Tetapi As-Siddiq, Saidina Abu Bakar hanya meletakkan Allah dan RasulNya sebagai bekalan untuk keluarganya. Ini kerana mereka memahami ayat Allah:-

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

111. Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar. (At-Taubah:111)

Apa lagi yang kita mahukan selain syurga Allah? Kereta besar? Melancong serata dunia? Rumah mewah? Dunia. Dunia kesemuanya. Jika dunia yang kita mahukan, ketahuilah, ramai lagi yang lebih berhak ke atas wang tersebut. Ingatlah ayat Allah:-

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

24. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).(At-Taubah:24)

Bahaya. Satu realiti yang memang terjadi pada diri kita. Kadang-kadang ianya terjadi tanpa kita sedari. Ibu Bapa kita lebihkan dari Allah dan RasulNya. Harta kita sayangi lebih dari Allah dan Rasulnya. Tempat rehat kita lebih enak bagi kita berbanding bersusah sebentar di dunia. Takutlah. Takutlah kita akan sifat ini. Jika tidak, janji Allah itu pasti benar.

Ikhwan Muslimin bila ditanya tentang bagaimana mereka memperolehi pendapatan bagi menggerakkan dakwah mereka sehingga kini ke 96 buah negara. Maka, apa yang dijawab ialah, “Ianya datang daripada poket-poket kami”. Bahkan mereka tidak menerima sumbangan walau daripada Ratu England sendiri. Kerana kesucian jalan ini amatlah dititikberatkan.

Firman Allah:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الأرْضِ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلا قَلِيلٌ

38. Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.(At-Taubah:38)

Ingatlah wahai sahabat-sahabatku. Zuhudlah pada dunia. Tidak hilang duit yang diletakkan pada jalan Allah. Bahkan ia akan terus bertambah-biak tanpa kita sedari. Rancanglah sebaiknya keluar masuk material milik kita. Janganlah kita sibuk memperuntukkan duit untuk kesenangan hidup kita sehingga lupa, bahawa di sana, terdapat lebih ramai manusia yang memerlukannya demi memastikan agama Allah ini tertegak. Carilah jalan yang sesuai bagi memanfaatkan segala yang kita miliki. Jika tidak dididik dari sekarang, percayalah, bila kita bergelar doktor, harta makin banyak, semakin jerih untuk kita mengeluarkan harta yang ada.

Ingatlah. Jika kita berpaling, maka Allah akan tukarkan kita dengan satu golongan yang lain yang lebih baik. Dan Allah sama sekali tidak rugi walau sedikitpun. Wallahua’lam.



28 January 2009

Zikraa | Melancong? Tunggu Saya!



Musim cuti kembali lagi bagi penuntut-penuntut di Mesir. Sungguh, cuti di Mesir amat menyeronokkan. Cuti yang panjang. Masa yang berlebih-lebihan. Masing-masing dengan perancangan tersendiri. Ada yang ingin duduk sahaja di rumah. Ada yang sudah membelek-belek jadual kelas tafaqquh tak kurang juga yang sudah berkorban wang untuk berjalan, melihat dan mentafsir.

Apapun perancangannya, lupakan sejenak. Saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk duduk sebentar. Duduk untuk kembali memperbetulkan niat sebelum pergi lebih jauh. Perjalanan ini panjang. Betul. Pergilah berjalan. Lihatlah kebesaran Allah. Tapi ingat, jangan jadikan percutian anda itu sia-sia wahai sahabatku. Seronok. Memang seronok dapat merantau ke negara orang. Espana. Italia. Deutchland. Yordania mahupun Luxoria. Kalau diberi peluang saya juga ingin ke sana kerna di sana terdapat serpihan-serpihan pemerintahan Islam yang sebenarnya mampu membangkitkan semangat jiwa-jiwa yang basah dengan kalamullah. Bahkan Islamlah yang sepatutnya menguasai tempat-tempat itu. Alangkah...

Ingatlah sahabat-sahabatku. Pastikan perjalanan anda diberkati. Jadikanlah ia sebagai penambah berat mizan kebaikan anda. Macam mana ya?. Tepuk dada, tanya iman. Kalau bercuti hanya untuk berseronok, saya sarankan agar anda lupakan sahaja rancangan itu. Kerna ramai lagi berhak ke atas wang anda. Tapi, jika anda bercuti kerna ingin membakar semangat juang anda melihat sejarah-sejarah Islam, maka saya katakan "Siiru 'ala barakatillah". Jika anda berjalan kerna ingin mentadabbur diri yang kerdil ini, maka teruskan. Moga amalan ini dikira sebagai bekalan ke hari Al-Waqia'h.

Akhir kalam, melanconglah, jangan melencong :)