25 February 2009

Zikraa | Hartaku MilikMU


“Budak medik kaan…”. Ya. Mungkin frasa tersebut pernah hinggap di corong telinga anda. Penafsiran perkataan tersebut mungkin berbeza bagi setiap individu kerana setiap dari kita mempunyai gerak pemikiran tersendiri. Alangkah lesu jika dunia ini dipenuhi dengan orang-orang yang serupa dari A hingga ke Z. Berbalik kepada frasa tadi, saya memahaminya sebagai ‘pelajar medik yang mempunyai sejumlah wang’ yang boleh dikatakan banyak jika dinisbahkan kepada kehidupan di Ardu Anbiya’ ini. Mungkin ada pentakwilan berbeza. Terpulang. Makanya, bila banyak duit, banyaklah kelebihannya. Bila banyak kelebihannya, banyaklah juga dugaannya. Terutama sekali, bila ditanya di akhirat nanti, ke mana harta-harta yang kita ada ini dibelanjakan. Pada jalan Allahkah? Atau pada jalan ‘kita’ sendiri?

“Duit aku, suka hatilah aku nak buat ape”. Mungkin segelintir daripada kita pernah berfikir sebegitu. Kadang-kadang, jumlah wang yang banyak boleh membuat kita terlupa sebentar asal-usul kita. Manakan tidak, sebulan mampu memiliki hampir LE2000 lebih. Tidakkah ianya satu nilai yang besar? Nah. Sekarang ianya terserah kepada kita untuk menguruskannya. Duit sudah di tangan. Tinggal kita yang menentukan arah tujuan.

Susah. Memang susah sebenarnya untuk menanam di dalam diri kita, untuk merasakan bahawa harta kita yang sebenar adalah harta yang diinfaqkan di atas jalan Allah dan harta yang kita gunakan untuk diri kita semata-mata adalah umpama debu-debu berterbangan. Hilang begitu sahaja ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Lihatlah sejarah Islam. Tidaklah agama Allah ini tertegak tanpa adanya sumbangan harta daripada para sahabat. Al-faruq, Saidina Umar menginfaqkan separuh hartanya di jalan Allah untuk tujuan perang. Tetapi As-Siddiq, Saidina Abu Bakar hanya meletakkan Allah dan RasulNya sebagai bekalan untuk keluarganya. Ini kerana mereka memahami ayat Allah:-

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

111. Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar. (At-Taubah:111)

Apa lagi yang kita mahukan selain syurga Allah? Kereta besar? Melancong serata dunia? Rumah mewah? Dunia. Dunia kesemuanya. Jika dunia yang kita mahukan, ketahuilah, ramai lagi yang lebih berhak ke atas wang tersebut. Ingatlah ayat Allah:-

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

24. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).(At-Taubah:24)

Bahaya. Satu realiti yang memang terjadi pada diri kita. Kadang-kadang ianya terjadi tanpa kita sedari. Ibu Bapa kita lebihkan dari Allah dan RasulNya. Harta kita sayangi lebih dari Allah dan Rasulnya. Tempat rehat kita lebih enak bagi kita berbanding bersusah sebentar di dunia. Takutlah. Takutlah kita akan sifat ini. Jika tidak, janji Allah itu pasti benar.

Ikhwan Muslimin bila ditanya tentang bagaimana mereka memperolehi pendapatan bagi menggerakkan dakwah mereka sehingga kini ke 96 buah negara. Maka, apa yang dijawab ialah, “Ianya datang daripada poket-poket kami”. Bahkan mereka tidak menerima sumbangan walau daripada Ratu England sendiri. Kerana kesucian jalan ini amatlah dititikberatkan.

Firman Allah:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الأرْضِ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلا قَلِيلٌ

38. Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.(At-Taubah:38)

Ingatlah wahai sahabat-sahabatku. Zuhudlah pada dunia. Tidak hilang duit yang diletakkan pada jalan Allah. Bahkan ia akan terus bertambah-biak tanpa kita sedari. Rancanglah sebaiknya keluar masuk material milik kita. Janganlah kita sibuk memperuntukkan duit untuk kesenangan hidup kita sehingga lupa, bahawa di sana, terdapat lebih ramai manusia yang memerlukannya demi memastikan agama Allah ini tertegak. Carilah jalan yang sesuai bagi memanfaatkan segala yang kita miliki. Jika tidak dididik dari sekarang, percayalah, bila kita bergelar doktor, harta makin banyak, semakin jerih untuk kita mengeluarkan harta yang ada.

Ingatlah. Jika kita berpaling, maka Allah akan tukarkan kita dengan satu golongan yang lain yang lebih baik. Dan Allah sama sekali tidak rugi walau sedikitpun. Wallahua’lam.



4 comments:

  1. salam...anas, nak tny la.artikel ini ada nilai tasawuf tak?kalo dari segi harakah dakwah islamiyah memang tak dinafikan...cmne ek?

    ReplyDelete
  2. maksud enta camne tu ?
    ianya ditulis berdasarkan apa yg ana penah lalui..
    mostly berkaitan harakah islamiah...

    ReplyDelete
  3. walla.so untuk penuhi keperluan sendiri tak salah kan?asal tak berlebihlebihan.

    ReplyDelete
  4. x de masalah. pentingkan awlawiyat. klu kasut dh dkt 5 psg, watpe beli lagi. Dan niat itulah plg penting. Boleh jadi kita berbelanja untuk diri sendiri, tapi dapat pahala. Pikir2kan...

    ReplyDelete