26 May 2011

Asyik Nak Bergaduh Sahaja [Bahagian 2]

    Alhamdulillah. Dalam isu yang lepas, telah saya sentuh sikap yang perlu ada dalam seseorang individu, bilamana dia meletakkan dirinya di dalam kerja amal kolektif, atau amal jamai’e. Ia hanyalah salah satu cadangan solusi sesetengah masalah. Boleh jadi ianya praktikal, boleh jadi ianya tidak. Sebab apa?


Hal ini kerana kita tidak boleh pukul rata setiap satu masalah yang timbul. Perlu ada penilaian, percubaan, penilaian semula dan perancangan yang lebih teliti selepas itu. Kita akan bergerak dengan lebih matang, setelah membuat beberapa percubaan ijtihad. Perkara ini perlu diambil berat lebih-lebih lagi bagi seorang murobbi.


Peringkat Murobbi

Murobbi, masul, pendidik atau apa sahaja istilah yang anda gunakan. Ia merupakan satu entiti yang terpenting di dalam jemaah. Merekalah yang akan membina generasi harapan penyambung risalah ini. Kita umpama rantaian-rantaian yang bersambung terus dengan risalah yang dibawa Baginda s.a.w. 

Kemenangan tertegaknya daulah Islam itu adalah anugerah daripada Allah apabila telah sampai masanya. Mungkin kita yang berusaha ini tidak sempat merasainya, mungkin generasi selepas kita atau selepas itu lagi, kita tidak tahu. Apa yang penting adalah pengkaderan rijal-rijal penyambung rantai tersebut yang kita utamakan.

Tarbiyah, perkara asasi sebelum kita pergi kepada perkara-perkara yang lain. Ianya teramatlah penting, jadi saya sebut perkara ini dahulu sebelum kita pergi kepada penglibatan ahli di dalam amal-amal yang lain.

العسكر الذي تسوده البطلة يجيد المشاغبات

Abu ‘Ammar, seorang tokoh haraki amat menitikberatkan perihal penggunaan tenaga yang ada di dalam jemaah untuk melakukan amal-amal yang berguna untuk mengembangkan dakwah yang suci ini. Perumpamaan di atas amat tepat dengan apa yang ingin ditekankan oleh beliau. Seorang askar, yang tidak diberikan kerja, akhirnya dia akan membuat kacau-bilau. Seorang murobbi seharusnya menggunakan kelebihan yang ada pada setiap anak buah yang mereka pegang, supaya mereka ini disibukkan dengan amal-amal yang dapat membantu individu tersebut dan juga jemaah.


Kerja murobbi adalah satu kerja yang cukup kritikal, dan ia memerlukan kita untuk berhabis tenaga di dalam kerja tersebut. Ianya bukan pengiktirafan, bahkan ia adalah satu amanah yang akan ditanya di akhirat kelak. Kerja murobbi tidak cukup dengan hanya menaqalkan maklumat kepada anak buah mereka, bahkan ianya jauh lebih besar daripada itu. Setiap anak buah di bawah tanggungjawabnya perlulah dia ambil berat dari segi tahap pemikiran atau fikrah, pembinaan kendiri dari sudut ruhi dan jasadi, menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dan pelbagai lagi. Dalam isu yang ingin saya kupas, murobbi perlulah mengetahui di manakah terletaknya kunci bagi setiap daripada mereka.

Kelebihan mana yang boleh disalurkan oleh setiap anak buah tersebut. Pengucapan umum? Seni suara? Kewartawanan? Leadership? Media massa? Memasak? Dan pelbagai lagi bidang yang boleh diterokai. Gunalah apa sahaja cara untuk mengenalpasti kelebihan setiap daripada mereka. Tanya secara terus kepada empunya badan, atau boleh juga bertanya kepada sahabat karibnya. Jika lebih berani, hubungi terus kedua ibu bapa mereka dan dapatkan maklumat berkaitan individu tersebut. Sekolah lama juga ada menyimpan sedikit sebanyak informasi berkaitan kurikulum yang disertai, dan perkara tersebut juga sebenarnya dapat membantu murobbi

Jika tidak dapat juga, maka sesama murobbi perlulah merancang modul yang akan dilalui oleh jundi tersebut, yang apabila habis sahaja modul tersebut, mereka dapat mengenalpasti di manakah terletaknya kecenderungan mereka.

“Penting ke ana nak tahu kelebihan mereka?” kata seseorang.

Mari kita selongkar sejenak isi ayat berikut;

إن لا تنفروا يعذبكم عذابا أليما ويستبدل قوما غيركم

Imam Ibnu Taimiyah, di dalam menafsirkan ayat di atas, menyatakan bahawa azab (يعذبكم) tersebut boleh jadi datang daripada Allah s.w.t dan boleh jadi juga datang disebabkan tangan-tangan manusia. Bilamana manusia meninggalkan tanggungjawab berjihad, maka akan tersebarlah fitnah dalam kalangan mereka. Tetapi jika manusia ini disibukkan dengan jihad di jalan Allah, maka Allah akan menyatukan hati-hati mereka.


Hakikat ini memang berlaku. Jika ahli di dalam satu-satu jemaah tidak disibukkan dengan amal jihad (bersesuaian dengan waqi’e), maka mereka akan sibuk mencari kesalahan orang lain. Satu pihak mengatakan mereka yang terbaik. Satu lagi pihak tidak kurang pula hebatnya, sama-sama mahu berbalah. Maka di sinilah kerja para murobbi. Mereka perlu menangani masalah yang timbul akibat pengangguran tentera-tentera mereka. Jika tidak, anda sendiri tahu akibatnya.

Satu lagi masalah yang timbul bila murobbi cuba menyelesaikan semua perkara, yang kadangkala kerja tersebut boleh diturunkan kepada yang lain. Maka dari situlah akan lahir golongan yang ‘tidak tahu hendak buat apa’.

Secara umum, itulah serba sedikit tanggungjawab murobbi dalam menyusun (atau tauzif) setiap ahli di dalam amal yang ‘menyibukkan’ mereka, dan ia merangkumi hanya berapa peratus sahaja kerja seorang murobbi itu.

Peringkat Jemaah

Kefahaman sebenar yang ditanam di dalam setiap ahli jemaah, akhirnya akan membuahkan hasil di mana ahli jemaah akan bertambah bilangan mereka setelah melalui jangka masa tertentu. Kadangkala ia boleh jadi satu kayu ukur kasar untuk melihat sejauh mana ahlinya melakukan kerja pengkaderan atau tajmi’.


Satu analogi mudah. Anda buka warung roti canai. Sebagai contoh, anda hanya memerlukan 4 orang pekerja untuk menguruskan dari segi tukang penebar roti, tukang ambil order, tukang pencuci pinggan dan tukang penjaga kauter bayaran. Tapi anda memilih untuk mengambil 8 orang pekerja. Maka, 4 orang yang berlebih itu akan berlenggang sahaja. Jadi mungkin anda boleh atasinya dengan membuka lagi satu gerai di tempat lain.

Mari kita kaitkan dengan kerja amal kolektif,  bila semakin ramai ahli, logikkah untuk kita menyuruh mereka bekerja tetapi ruang atau medan untuk mereka bekerja tidak disediakan atau masih lagi sempit dan tertumpu dalam beberapa perkara yang kecil sahaja.

Abu ‘Ammar menerangkan dengan terperinci di dalam buku Al-Muntalaq, di dalam tajuk Peluasan Yang Seimbang dan Penyebaran Yang Berhati-hati (التوسع الموزون والانتشار المتأني). Beliau menekankan kepada dai’e agar berhati-hati di dalam membuka medan amal di mana kita perlu sediakan setiap rijal tersebut dengan tarbiyah yang cukup. Mafhum mukholafahnya, medan amal perlu dibuka apabila ahli semakin bertambah dengan tidak mengabaikan faktor-faktor yang penting tadi.

Marhalah ta’sis(pengasasan) dan infitah(pembukaan) kadangkala perlu dijalankan serentak untuk menampung pertambahan ahli, agar mereka ini kita dapat gunakan sebaiknya di dalam menyumbang kepada jemaah. Jika kita hebat dalam pengkaderan, tetapi tidak menyediakan medan untuk mereka bekerja, akhirnya orang yang dikumpulkan itu akan lari, kerana mereka tidak merasakan kebersamaan di dalam jemaah tersebut. Lebih-lebih lagi bila kita berinteraksi dengan susuk peribadi yang suka bekerja.

Hal ini bukanlah satu perkara yang mudah. Ianya memerlukan pertimbangan yang bijak dari setiap qiyadah di dalam membuat keputusan bersesuaian dengan situasi semasa. Banyak faktor yang perlu diambil kira seperti tenaga yang ada, kesediaan mereka untuk beramal, tekanan daripada luar, tarbiyah yang cukup dan pelbagai lagi.

Penutup



Sebagai penutup artikel ini, ingin saya tekankan sekali lagi, bahawa bilamana setiap daripada kita sibuk dengan kerja-kerja dakwah, maka isu ‘Asyik nak bergaduh sahaja’ tidak akan timbul. Kita tidak mempunyai masa untuk memikirkan hal yang remeh dan tidak menyumbang kepada amal. Maka setiap daripada kita ada tanggunggjawab yang perlu dipikul, supaya kita dapat merealisasikan impian kita selama ini, agar Islam kembali ke tampuk pemerintahan yang sepatutnya dan mencapai marhalah Ustaziyatul Alam.

Wallahua’lam.

*Untuk bacaan lebih mendalam, boleh baca artikel ini dan ini.
*Semua di atas adalah pandangan peribadi penulis. Boleh diterima dan boleh ditolak.

No comments:

Post a Comment