15 May 2011

Asyik Nak Bergaduh Sahaja [Bahagian 1]


Bila disebut abang dan adik, apa yang hadir di benak fikiran kita? Pergeseran? Ya. Pergeseran. Ia umpama satu perkara yang lumrah, antara abang dan adiknya, terutama sesama lelaki pasti ada pergaduhan yang berlaku dan kebanyakkannya berkelahi ketika masih di alam remaja. Tidak dinafikan di kalangan adik-beradik perempuan boleh juga terjadi perkara ini, tetapi perkelahian mereka ada ciri tersendiri. Masam muka memanjang. Tidak boleh bertemu muka dan ciri-ciri lain yang anda perlu kaji sendiri.

Tetapi pernahkah kita fikir, mengapa perkara ini terjadi? Kenapa ia satu perkara yang sudah jadi seperti adat dalam setiap alam berkeluarga itu?

Mari kita singkap sejenak, kisah Umar bin Abdul Aziz. Pemerintahannya hanya mencecah dua tahun sahaja, namun perubahan yang dibawa umpama beliau memerintah berpuluh tahun. Di manakah terletaknya kunci kehebatan tersebut? Khalifah Umar Abdul Aziz telah meletakkan satu solusi yang pada hemat saya, ia adalah satu perkara yang amat kritikal ketika ini. Satu solusi yang mampu menjamin kesejahteraan sesebuah masyarakat yang kerap kali bertelagah sesama mereka.


Beliau telah mengambil langkah dengan cara menggunakan sebaik mungkin sumber manusia yang ada, dengan meletakkan di atas pundak setiap daripada mereka dengan kerja-kerja tertentu. Perkara ini akhirnya menyebabkan masing-masing sibuk dengan urusan yang perlu diselesaikan
.
Dalam situasi adik-beradik di atas, maka ibubapa perlulah bijak mengambil inisiatif bagi mengawal suasana harmoni keluarga tersebut. Cuba letakkan setiap daripada mereka kerja yang mereka minat untuk laksanakan. Satu contoh mudah, jika si abang suka bermain bola, adiknya pula suka bermain badminton. Maka cabar mereka untuk melihat siapa yang boleh mewakili sekolah, maka dialah yang lebih hebat. Tapi jika ada yang tidak dapat, pandai-pandailah untuk meraikan keduanya.


Fokus saya bukan pada perihal keluarga. Tetapi saya ingin bawa kalian semua ke satu sudut yang lain pula. Duduk bersama rakan-rakan di perantauan mengajar kita banyak perkara. 4 tahun pengalaman, banyak mengajar saya melihat kerenah yang pelbagai, dan belajar daripada pemerhatian tersebut. Duduk bersama mereka yang memahami tuntutan dakwah ini menambah lagi pengalaman tersebut. Kadang-kadang, memang tidak dinafikan akan berlaku pergeseran kecil. Apatah lagi jika ada yang sudah duduk bersama bertahun-tahun.

Satu solusi yang mampu menjamin kesejahteraan sesebuah masyarakat yang kerap kali bertelagah sesama mereka.

Pinggan tidak dibasuh, baju bersepah, karpet tidak di vacuum, selalu tiada di rumah, pasang lagu kuat-kuat dan pelbagai kerenah yang lain. Semua masalah kecil ini akan menjadi besar jika tidak ditangani sebaik mungkin. Akhirnya, kita boleh letakkan salah satu punca masalah tersebut ialah, masing-masing tiada kerja, yang membawa kepada mereka cuba menyibukkan diri dengan perkara-perkara kecil. Bukan bermaksud perkara tersebut tidak penting, tetapi ianya boleh diselesaikan jika masing-masing ada sikap tolak ansur ataupun tahamul. Setiap daripada kita jika disibukkan dengan perkara yang lebih besar, maka kita tidak punyai masa untuk bertengkar dalam perkara-perkara yang remeh-temeh.

Saya letakkan beberapa perlaksanaan amali yang boleh dilakukan setiap daripada kita.

Peringkat individu

Dalam tarbiyah, bila kita meletakkan diri kita sebagai jundi, mahu tidak mahu, kita perlu mengambil inisiatif untuk membentuk kerja yang kita boleh lakukan demi menyumbang kepada jemaah. Tanam dalam diri sifat ijabiyah. Cabut dari dalam diri sikap menunggu arahan daripada murabbi. Selagimana kerja yang kita ingin kita lakukan itu bertepatan dengan kehendak syara' dan kritikal bagi jemaah, maka lakukan. Jika ada kesilapan, kita boleh belajar daripada situ, dan itu lebih cepat mematangkan seseorang ikhwah tersebut.

Ambil contoh, anda pandai menulis cerpen. Ramai orang meminati tulisan anda. Maka tak perlulah disuruh baru hendak menulis. Tanya pendapat orang lain tajuk-tajuk kritikal, maka mulalah menulis. Anda pandai dalam bab pengurusan sesuatu aktiviti. Maka, bentuklah atau insya’ satu program yang daripada situ, anda dapat menyampaikan kefahaman Islam kepada pelajar lain. Semua ini menyebabkan anda akan sibuk memikir kerja-kerja yang anda boleh lakukan. Tapi yang paling utama, anda akan tertolak untuk melakukan semua ini jika anda benar-benar mengimani kewajipan berdakwah tersebut.

“Ana tak boleh lah. Ana rasa ana ada sifat inferiority complex lah,”  kata seseorang. Letak tepi dulu masalah tersebut. Kita bukan menyuruh anda membuat perkara yang anda tidak tahu. Hakikatnya, kita sendiri yang tahu kelebihan kita terletak di bahagian yang mana. Memasak? Media? Pengurusan? Bersukan? Kita yang menentukannya. Tarbiyah itu meraikan kepelbagaian manusia. Ia tidak memaksa sama sekali. Sama ada kita mahu atau tidak, kita yang tentukan.



“Ana takut lawan masul lah,” kata seorang yang lain. Tarbiyah yang sebenar sama sekali tidak memandulkan kelebihan yang ada pada seseorang.

وَتَفَقَّدَ الطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِيَ لا أَرَى الْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ الْغَائِبِينَ (٢٠)لأعَذِّبَنَّهُ عَذَابًا شَدِيدًا أَوْ لأذْبَحَنَّهُ أَوْ لَيَأْتِيَنِّي بِسُلْطَانٍ مُبِينٍ (٢١)فَمَكَثَ غَيْرَ بَعِيدٍ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِ وَجِئْتُكَ مِنْ سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ (٢٢)

20. Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta Dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa Aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka Yang tidak hadir?
21. "Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya Dengan seksa Yang seberat-beratnya, atau Aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaKu alasan Yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)".
22. Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara Yang Engkau tidak cukup mengetahuinya, dan Aku datang kepadamu dari negeri Saba' Dengan membawa khabar berita Yang diyakini kebenarannya.

Kisah burung Hud hud membawa erti pengajaran yang besar bagi seorang da’ie. Sifat ijabyah yang ada pada seekor burung. Kita yang dicipta lebih sempurna sepatutnya menjadi lebih hebat daripada burung tersebut.

Kemudian kita lihat pula bagaimana para sahabat memahami tuntutan dakwah. Saidina Uthman r.a mengambil inisiatif membeli telaga air dari yahudi yang memilikinya, agar umat muslimin dapat mengambil manfaat daripadanya. Seorang lagi sahabat memberi cadangan kepada Rasulullah untuk dibina mimbar, supaya khutbah yang disampaikan baginda dapat didengari dan dilihat oleh yang lain. Semua ini berlaku ketika di awal penubuhan Madinah. Baginda sendiri melatih setiap daripada sahabat dengan kelebihan masing-masing. Lihatlah, ini dia Islam. Tarbiyah akhirnya akan melahirkan rijal-rijal pendokong risalah ini, penyambung mata-mata rantai dakwah.

Sedarilah, jika kita benar meletakkan diri kita di atas jalan dakwah ini, kita tidak ada masa memikirkan perkara yang remeh-temeh tadi. Di hadapan kita terletak satu tanggungjawab yang amat besar, yang perlu dipikul bersama. Jangan jadikan keberadaan kita di dalam saf ini sebagai beban kepada yang lain. Wal ‘iyazubillah.

Insyaallah saya akan sambung aplikasi diperingkat murabbi dan jemaah pada entri akan datang. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment