02 March 2009

Zikraa | Aku Dilamun Cinta


Tak cukup ke ana selawat ke atas Rasulullah. Itu pon dah kire baik ape. Daripada tak buat apa-apa,” rungut seorang sahabat. Ya. Memang benar. Selawat ke atas Rasulullah menandakan kita ini mencintai baginda. Apatah lagi terikut dengan budaya Mesir yang amat menitikberatkan selawat ke atas Nabi. Tapi, sekadar itukah sahaja bukti cinta kita kepada Rasulullah? Saya bawa satu analogi di sini. Seorang lelaki jatuh cinta kepada seorang perempuan. Dia menagih cinta perempuan tersebut. Dia mengharapkan agar perempuan tersebut berada di sisinya selalu dan mengimpikan satu kehidupan yang bahagia suatu hari nanti. Tetapi dia tidak sanggup untuk berbelanja lebih kerana takut kehabisan wang. Masa juga tidak mampu dikorbankan. Nah. Jika begini yang terjadi, maka anda dapat agak apakah hasil taupun natijahnya.

Di dalam era di mana kerosakan akhlak semakin meruncing ini, amat penting bagi kita selaku mukmin untuk kembali menyemarakkan cinta kita kepada Rasulullah. Musuh Islam saban hari cuba melenyapkan perasaan cinta kita kepada Nabi Muhammad dengan pelbagai tarikan dan hiburan. Tidak perlu pergi jauh, tanya diri kita sendiri. Adakah kita mengingati Maulud Nabi sebulan yang lepas? Nah. Jelas sekarang bagaimana licik kaum kuffar bagi melalaikan kita.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٣١)
31. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk kita kembali merenung, sejauh manakah kita benar-benar berusaha untuk merealisasikan atau mentahqiqkan perasaan cinta kita kepada Nabi Allah s.a.w. di dalam bentuk amal yang diterima oleh Allah. Adakah kita dikatakan mencintai Rasulullah jika puasa Isnin dan Khamis masih lagi kita ambil ringan? Dengan alasan, “Maalesh ar, ana tak sempat nak sahur tadi”, “Hari lain je la, ana macam tak larat lar”. Dan ketahuilah bahawa, sesiapa yang bercucuk tanam, maka dialah yang akan menuainya. Sesiapa yang berusaha dengan juhud, maka dia yang akan berjaya. Adakah boleh dikatakan kita ini menyayangi Rasulullah sekiranya solat berjemaah di masjid terutamanya Subuh, masih lagi tidak kita lazimi. Kalau pergi pun, jemaah kedua yang dikejarnya bahkan ia pergi dengan berat hati kerana melihatkan sahabat-sahabat lain turun berjemaah di masjid. Adakah kita dikatakan merindui Rasulullah sedangkan ayat-ayat al-quran tidak meniti di bibir-bibir kita. Sehari tidak pernah lebih dari setengah juz pun ayat al-Quran yang kita baca.

Kalau beginilah sikap kita, janganlah terimpi-impi untuk duduk bersama Rasulullah dan para sahabat di dalam satu liqo’ imani, pabila berada di dalam syurga nanti. Lupakanlah. Jauh. Memang jauh impian tersebut. Bukan duduk bersama Rasulullah, bahkan janji syurga itupun masih samar-samar. Kita lihat, bagaimana para sahabat mempertahankan Rasulullah dengan nyawa mereka sendiri. Peristiwa Uhud menjadi saksi pengorbanan mereka, di mana beberapa orang sahabat menahan panah-panah menggunakan badan mereka sendiri. Sahabat hilang giginya demi mencabut besi yang tertusuk di muka Rasulullah. Di dalam perang al-Ahzab pula, Huzaifah memberi taat tanpa berbelah bahagi kepada Rasulullah apabila disuruh mengintip percaturan kafir quraisy.

Nah. Adakah pengorbanan kita untuk mempertahankan Rasulullah sudah sehebat para sahabat? Saya ingin mengajak sekali sahabat-sahabat untuk kita berkhayal sebentar. Bayangkan suatu hari Rasulullah datang melawat kita. Ketika itu, tangan kita asyik berlari di atas joypad menghabiskan permainan PES 2009 ataupun bertarung DOTA dengan sahabat yang lain. Mungkin juga ketika itu, kita sedang khusyuk menonton movie. Boleh jadi juga kita asyik berbual kosong bercerita tentang perempuan, perlawanan bola dan sebagainya. Tanyalah diri kita, benarkah kita benar-benar mencintai Rasulullah. Ini belum lagi ditanya, sejauh manakah usaha kita demi menyambung kerja Rasulullah selaku khalifah di muka bumi Allah. Dan sedarlah, bahawa Rasulullah telah wafat dan tidak akan menziarahi rumah kita, tetapi sesunggahnya, Allah tidak terlepas pandang dari memerhatikan kita walau sedetik.

Akhir kalam, alangkah ruginya jika kita mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkannya. Sedangkan amal itulah yang Allah akan lihat. Jadi, ayuh kita realisasikan beberapa wajibat amali untuk diamalkan bersama, tanda kita benar-benar mencintai Rasulullah:-

1. Solat berjemaah di masjid terutama Subuh
2. Tilawah al-Quran sekurang-kurangnya setengah juz sehari

3. Selawat ke atas nabi 100x sehari (untuk mudah, lakukan setiap kali habis solat)

4. Bersedekah

5. Mengingatkan sahabat-sahabat yang lain tentang Maulud Nabi

6. Qiamullail seminggu sekali

7. Berpuasa Isnin dan Khamis atau salah satu
8. Menghidupkan suasana rumah dengan menampal poster-poster berkaitan Maulud Nabi

Wallahua’lam…

No comments:

Post a Comment