13 August 2011

Aku tak cukup amal nak nasihat?

Saya rasa semua daripada kita pernah duduk di atas kerusi. Ya. Kerusi.
Saya ingin bawa satu analogi berkaitan kerusi dan dakwah. Mungkin analogi ini pelik dan boleh jadi tiada kaitan pun. Mungkin juga nanti akan ada yang tidak dapat memahami pun analogi ini. Tapi tidak mengapa. Saya tetap mahu menggunakan kerusi sebagai analogi tersebut.

Anda mesti tahu kerusi yang jenis mahal sedikit, yang mana boleh dilaraskan ketinggiannya, berpusing-pusing dan mungkin juga full leather.

Kerusi jenis ini, kalau kita mahu laraskan ketinggiannya, maka kita perlu duduk di atasnya, kemudian menekan butang laras yang terdapat di bahagian bawahnya. Apa jadi kalau kita tekan butang laras tersebut tanpa duduk di atas kerusi tersebut? Betul. Kerusi itu akan naik ke atas. Saya ibaratkan jika kerusi itu turun ke bawah atau direndahkan, maka kita maju ke hadapan dalam amal. Jika naik ke atas, kita semakin terkebelakang. Menekan butang laras pula saya ibaratkan amali atau kerja yang kita lakukan secara praktikal. Duduk di atas kerusi pula saya ibaratkan sebagai nasihat.

Tinggalkan sebentar kisah kerusi. Isu yang ingin saya bawakan di sini adalah berkaitan ayat ke-2 surah As-Soff.

  يأيها الذين ءامنوا لم تقولون ما لا تفعلون

Sesetengah orang mengambil langkah berjaga-jaga dalam memberi nasihat. Dia memberi alasan dengan berkata, "Aku tak nak beri nasihat atau berdakwah sebab aku sendiri tidak melakukannya. Cuba baca surah As-Soff ayat ke-dua,". Maka, dengan ayat tersebut dia mengambil pendekatan untuk tidak melakukan amal dakwah atau memberi nasihat kepada yang lain. Begitulah salah satu situasi yang anda sendiri mungkin pernah menghadapinya.

Berbalik kepada analogi kerusi. 3 situasi yang mungkin berlaku:-

1. Anda ingin beramal dahulu sehingga sempurna, baru mengajak orang lain. Bila dinisbahkan kepada kerusi tadi, umpama anda ingin melaraskan ketinggian kerusi(baca: beramal) tanpa anda duduk di atasnya(baca: nasihat), maka ia akan naik ke atas (saya umpamakan anda mundur dalam amal). 

2. Anda ingin memberi nasihat, tetapi masih lagi tidak mengamalkannya. Umpama anda duduk di atas kerusi(baca: nasihat) tapi tidak menekan butang laras(baca: beramal), maka anda akan kekal di takuk yang sama.

3. Anda memberi nasihat di samping mengamalkannya. Saya umpamakan ia dengan anda duduk di atas kerusi dan menekan butang laras. Maka kerusi akan turun ke bawah(saya umpamakan anda maju dalam beramal)

Secara kesimpulan, yang terbaik adalah anda melakukan kedua-dua perkara tersebut, iaitu memberi nasihat dalam masa sama beramal dengannya. Tetapi, jika anda masih tidak beramal lagi, anda tetap perlu memberi nasihat, jika tidak, anda akan mundur dalam amal.

Saya ingin mengajak anda untuk melihat kedua perkara tersebut iaitu AMAL dan NASIHAT.


Jika anda tidak beramal dengan apa yang anda katakan, adakah ini bermakna anda perlu meninggalkan kedua-dua perkara tersebut? Tidak. Masalah yang perlu dibaiki adalah pada amal dan bukan pada nasihat. Nasihat itu tetap diteruskan, dan yang perlu diperbaiki adalah pada amalnya.

Pernah tak anda dengar ayat berikut;

اصلح نفسك وادعوا غيرك

Perkataan 'و' digunakan dan bermakna seiring. Bukan perkataan 'ثم' yang membawa makna selepas itu. Jadi, pembaikan diri berlaku seiring dengan anda mengajak orang lain ke arah kefahaman Islam yang sebenar. Kita tahu hakikat manusia itu ada naik dan turun imannya. Adakah apabila iman kita menurun, bermakna kita  boleh meninggalkan dakwah? Sedangkan apa yang diajar kepada kita adalah untuk berpegang kuat pada sunnah Nabi bilamana iman kita menurun, agar kita tidak lari jauh dari landasan sebenar.

Itu serba sedikit berkaitan kefahaman ayat tersebut. Kalau anda ada hujah melalui tafsir, boleh juga kongsikan di sini. Mungkin apa yang saya bawa ini tidak tepat.

Wallahua'lam.

*Sedang mencuba teknik pemikiran yang diajar oleh Adam. Lihat sesuatu benda secara rawak untuk mencapai penyelesaian. Tidak tahu menjadi ke atau tidak. Ada komen tak Adam? :)






4 comments:

  1. Pening juga nak kaitkan analogi dengan isi. Boleh cuba cari lagi analogi rawak yang lain kot. Dah nama pun rawak, kena lah cuba sampai jumpa yang ok kan?

    ReplyDelete
  2. Hehe. Tak dan memikir analogi yang lain. Ni pun bertangguh lama.
    Adam ajar pun suruh ambil benda yang memang rawak betul. Sekali tengok terus ambil. :)

    ReplyDelete
  3. haha~ ana pun tak tahu la Anas. Tapi ana rasa menarik.
    *nnt kalau ada orang kata pelik, maknanya kreatif la tu.

    ReplyDelete
  4. Kena belajar lagi la dari anta. :)

    ReplyDelete